top of page

Randawi Tavantang Kaamatan Angkat Martabat Budaya KDMR

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • May 19
  • 2 min read

KOTA KINABALU (19 Mei) - Pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memelihara serta memperkasakan warisan budaya komuniti Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) di Sabah.


Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan RTK 2026, Casey Jovial berkata, pertandingan yang sebelum ini dikenali sebagai Mister Kaamatan (MRK) dijenamakan semula sebagai Randawi Tavantang Kaamatan bagi mengangkat martabat bahasa ibunda serta memberikan nilai estetik tradisi yang lebih mendalam.


Menurut beliau, istilah "Randawi" membawa maksud perbincangan atau wacana yang bijaksana manakala "Tavantang" merujuk kepada lelaki yang bukan sahaja tampan dari segi fizikal tetapi turut memiliki peribadi mulia serta berkarisma.


"Melalui nama baharu ini, kita mahu menepis persepsi bahawa ini hanyalah pertandingan rupa paras semata-mata, sebaliknya ia adalah satu platform pencarian ikon budaya yang komprehensif," katanya ketika ditemu bual dalam segmen Kupi Kruz bersama DJ Velvet di Radio Kupi-Kupi FM, di sini pada petang Isnin.


Beliau berkata, objektif utama pertandingan itu adalah untuk memelihara warisan tradisional, mengetengahkan pemakaian busana etnik asli serta menguji kebijaksanaan intelektual para peserta.


"Pertandingan tersebut terbuka kepada golongan belia lelaki daripada komuniti KDMR di Sabah dengan matlamat melahirkan generasi muda yang mampu menjadi duta budaya dan memelihara identiti masyarakat tanpa melupakan akar umbi mereka," ujarnya.


Seramai 50 finalis lelaki KDMR akan bersaing dalam pertandingan RTK tahun ini melibatkan wakil pelbagai daerah dan sub daerah di Sabah selain penyertaan cawangan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.


Mengulas mengenai penilaian pertandingan, Casey berkata, peserta akan dinilai berdasarkan pengetahuan kebudayaan dan adat resam etnik masing-masing, keaslian busana tradisional, kemahiran komunikasi serta karisma dan disiplin sepanjang pertandingan berlangsung.


Sementara itu, Showcase Randawi Tavantang Kaamatan 2026 dijadual berlangsung pada 23 Mei ini bermula jam 6 petang hingga 10 malam di Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu manakala pertandingan akhir akan diadakan pada 27 Mei di Dewan Utama Hongkod Koisaan, KDCA Penampang bermula jam 10.30 pagi hingga 6 petang.


Pihak penganjur turut memaklumkan tiket bagi menyaksikan pertandingan akhir Randawi Tavantang Kaamatan 2026 telah mula dijual pada harga RM15 dan orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta pembelian tiket menerusi laman rasmi https://tix.growthpartner.my.


Beliau turut mengajak orang ramai hadir memberikan sokongan kepada peserta serta bersama-sama memartabatkan warisan budaya KDMR di negeri ini./Penerangan-

Comments


bottom of page