top of page

Peserta Unduk Ngadau dan Sugandoi Diseru Jadi Duta Budaya Generasi Muda Sabah

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • May 16
  • 1 min read

Oleh Romie Stanley DGuns


KOTA BELUD, 16 Mei 2026 – Peserta pertandingan Unduk Ngadau dan Sugandoi diseru supaya menjadi duta budaya serta wajah generasi muda Sabah dalam usaha memartabatkan warisan seni dan budaya negeri.


Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III Carlye Lajimin berkata demikian ketika berucap mewakili Datuk Ewon Benedick Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengagkutan Sabah merasmikan Sodop Unduk Ngadau dan Pertandingan Sugandoi Peringkat Daerah Kota Belud 2026 di Kadamaian Square, semalam.


Menurut Carlye, Pesta Kaamatan bukan sekadar tradisi tahunan, tetapi menjadi lambang kesyukuran, perpaduan dan kekuatan budaya rakyat Sabah yang perlu terus dipelihara oleh generasi masa kini.


Katanya, pertandingan Unduk Ngadau membawa simbol penghormatan terhadap wanita, pengorbanan dan nilai kehidupan menerusi legenda Huminodun, manakala Sugandoi pula menjadi platform mencungkil bakat seni, suara dan kreativiti anak muda agar bahasa serta lagu tradisional terus subur.


“Pembangunan masyarakat bukan hanya tertumpu kepada ekonomi dan infrastruktur, tetapi juga keupayaan mempertahankan identiti, budaya dan warisan,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan sentiasa menyokong pembangunan belia, keusahawanan, industri kreatif dan pelancongan budaya bagi membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda Sabah.


Tambahnya, program seperti itu bukan sahaja mengeratkan perpaduan masyarakat, malah memberi ruang kepada bakat tempatan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.


Dalam pada itu, Carlye turut mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan meminta peserta yang belum berjaya supaya terus berkarya serta menyumbang kepada pembangunan seni dan budaya negeri.


Majlis berkenaan turut memperkenalkan 12 finalis Unduk Ngadau yang bakal berentap pada pertandingan akhir esok, selain 10 finalis pertandingan Sugandoi Kaamatan.

Comments


bottom of page