top of page

Madius cadang tubuh Majlis Penyelarasan Pelabuhan dan Industri Sabah perkukuh pelaburan negeri

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Jul 22
  • 1 min read

KOTA KINABALU, 22 Julai — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Penyelarasan Pelabuhan dan Industri Sabah bagi menyelaras usaha menarik pelaburan serta memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.


Beliau mengemukakan cadangan itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Pindaan) 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.


Menurut Madius, majlis berkenaan wajar dipengerusikan oleh menteri yang bertanggungjawab terhadap pelabuhan dengan keahlian melibatkan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), Suria Capital Berhad, POIC, Invest Sabah Berhad, SEDIA, MIDA, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Laut Malaysia serta wakil sektor swasta.


“Tujuannya ialah memastikan semua agensi bergerak sebagai satu pasukan untuk menarik pelaburan dan menyelesaikan isu yang dihadapi pelabur dengan lebih pantas,” katanya.


Madius, yang juga Pengerusi POIC Sabah Sdn. Bhd., berkata pelabur menilai Sabah sebagai satu destinasi pelaburan dan bukannya berdasarkan prestasi setiap agensi secara berasingan.


“Mereka tidak membezakan antara Lembaga Pelabuhan, Kastam, Imigresen atau Invest Sabah.


“Yang mereka nilai ialah kecekapan Sabah sebagai sebuah destinasi pelaburan.


“Semua agensi perlu berkongsi satu matlamat, iaitu menjadikan Sabah negeri yang paling mesra pelabur di Malaysia,” katanya.


Beliau turut berharap Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dapat diperkasakan daripada sekadar badan kawal selia kepada sebuah institusi yang berperanan sebagai pemudah cara pembangunan ekonomi negeri.


“Pelabuhan mesti menjadi rakan strategik kepada sektor pembuatan, logistik, eksport dan semua agensi yang berusaha membawa pelaburan ke Sabah.


“Saya menyokong RUU ini dan berharap pindaan yang dicadangkan menjadi titik permulaan kepada transformasi besar dalam pengurusan pelabuhan-pelabuhan Sabah,” katanya.

Comments


bottom of page