top of page

Madius cadang Kerajaan bangunkan Kerangka Kompetensi Pegawai Kehakiman MAN Sabah

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Jul 22
  • 1 min read

KOTA KINABALU, 22 Julai — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mencadangkan agar Kerajaan Negeri membangunkan Kerangka Kompetensi Pegawai Kehakiman Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sabah bagi memperkukuh institusi kehakiman adat di negeri ini.


Beliau berkata, kerangka kompetensi itu perlu merangkumi semua peringkat pegawai kehakiman, daripada Ketua Kampung hingga Hakim Mahkamah Tinggi Anak Negeri, sekali gus menjadi asas kepada pelantikan, latihan, penilaian prestasi dan pembangunan kerjaya.


“Sesebuah mahkamah hanya akan dihormati apabila hakim-hakimnya turut dihormati kerana memiliki ilmu, integriti, kebijaksanaan dan kompetensi yang tinggi.


“Oleh itu, pembaharuan Mahkamah Anak Negeri hendaklah merangkumi bukan sahaja pindaan undang-undang, tetapi juga pembangunan modal insan kehakimannya,” katanya.


Madius, yang juga Ahli Parlimen Tuaran, berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.


Beliau turut mencadangkan agar kerangka berkenaan disokong dengan sistem pensijilan profesional berasaskan piawaian antarabangsa ISO/IEC 17024 bagi memastikan pelantikan serta pembangunan pegawai kehakiman dilaksanakan berasaskan merit dan penilaian yang objektif.


Menurutnya, pelaksanaannya boleh diperkasakan melalui Jawatankuasa Penasihat Pelantikan Kehakiman Anak Negeri di bawah Seksyen 23 serta peranan Tetua yang diperuntukkan di bawah Seksyen 30 enakmen berkenaan.


Selain itu, beliau mencadangkan supaya Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri Sabah (ILMAN) diperkasakan sebagai pusat kecemerlangan yang berperanan melaksanakan latihan kehakiman, penyelidikan, dokumentasi adat serta program Continuing Professional Development (CPD) secara berterusan.


“Saya juga mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah bagi menasihati mengenai pelantikan, kenaikan pangkat, latihan dan tata kelakuan pegawai kehakiman secara lebih telus dan bebas.


“Kewibawaan sesebuah mahkamah tidak bergantung kepada bangunannya, tetapi kepada integriti institusinya, kebijaksanaan hakim-hakimnya dan keyakinan rakyat terhadap keadilannya,” katanya.

Comments


bottom of page