top of page

Kerajaan Sabah Tegas Pertahan Hak Imigresen Negeri - Hajiji

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • May 14
  • 2 min read

KOTA KINABALU (14 Mei): Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan Kerajaan Sabah akan terus mempertahankan autonomi imigresen Sabah seperti yang termaktub di bawah Malaysia Agreement 1963 (MA63) demi memastikan hak dan kedudukan istimewa negeri ini sentiasa terpelihara.


Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah telah meneliti pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Sabah dan mendapati terdapat elemen yang boleh menghakis kuasa serta hak keistimewaan imigresen negeri.


Menurutnya, pelaksanaan AKPS akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu-pintu masuk negeri, namun Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa secara langsung terhadap agensi itu.


“Kerajaan Negeri mendapati pelaksanaan AKPS mempunyai implikasi terhadap kuasa autonomi imigresen Sabah dari segi perundangan dan pengoperasian.


“Pihak Berkuasa Negeri hanya mempunyai hubungan melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah sebagaimana diperuntukkan di bawah Subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860],” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut mengesan terdapat percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang boleh menjejaskan kelancaran serta keberkesanan penguatkuasaan di pintu-pintu masuk Sabah.


Beliau menegaskan kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak adalah hak yang tidak boleh dirunding kerana ia merupakan sebahagian daripada asas pembentukan Malaysia menerusi MA63.


“Autonomi imigresen Sabah dan Sarawak adalah hak yang tidak boleh dikompromi atau dirunding kerana ia merupakan antara jaminan utama dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.


“Kerajaan Negeri akan terus memastikan perlindungan kedudukan perlembagaan berkaitan hak autonomi imigresen Sabah sentiasa dipelihara,” katanya.


Sehubungan itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri memutuskan untuk menangguhkan dasar dan pelaksanaan AKPS di Sabah sehingga terdapat jaminan jelas bahawa tiada sebarang penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen negeri.


Katanya, keputusan itu penting bagi memastikan kepentingan Sabah serta kedudukan perlembagaan negeri terus dilindungi.

Comments


bottom of page