Kerajaan Komited Perkasa Usaha Pemuliharaan Biodiversiti
- Daily Insight
- May 24
- 2 min read

PENAMPANG : Kerajaan Negeri Sabah terus komited dalam memperkukuhkan usaha pemuliharaan biodiversiti dan sumber genetik tumbuhan menerusi penganjuran Program Kebangkitan Semangat Benih atau Seed Spirit Revival (SSR).
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, program itu amat signifikan kerana mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memelihara biodiversiti, sumber genetik tumbuhan serta khazanah alam semula jadi Sabah yang amat bernilai.
"Sabah terkenal sebagai antara kawasan biodiversiti terkaya di dunia dengan kepelbagaian flora, fauna, budaya serta pengetahuan tradisional masyarakat tempatan yang unik.
"Kita amat bertuah kerana negeri Sabah masih mempunyai kawasan hutan, tanah tinggi, sungai, laut dan habitat semula jadi yang menyimpan pelbagai spesies tumbuhan yang belum diterokai sepenuhnya.
"Namun demikian, pembangunan moden, perubahan guna tanah dan kemerosotan habitat semula jadi memberi cabaran besar kepada usaha pemuliharaan biodiversiti dan sumber asli negeri ini.
"Selain itu, kemajuan teknologi dan perubahan landskap pertanian moden turut memberi kesan kepada kewujudan spesies tumbuhan asal sehingga ada yang berisiko pupus tanpa disedari.
"Oleh itu, usaha mendokumentasi, mengumpul dan memelihara benih tumbuhan asli melalui program SSR adalah amat relevan dan perlu diteruskan secara berterusan," katanya.
Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Limus Jury semasa Program Kebangkitan Semangat Benih Sempena Hari Biodiversiti Sedunia dan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan Terbuka Hongkod Koisaan KDCA di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, usaha memelihara biodiversiti bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat negeri Sabah.
Joachim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah turut memaklumkan sejak tahun 2021, program itu telah berjaya mengumpulkan ratusan spesies benih melibatkan padi tradisional, tumbuhan herba dan buah-buahan tempatan yang mempunyai nilai warisan dan potensi pembangunan masa hadapan.
"Benih-benih yang dikumpulkan ini bukan sahaja mempunyai nilai pertanian dan ekonomi, malah turut menyimpan nilai budaya, pengetahuan tradisional dan potensi penyelidikan masa hadapan.
"Saya juga difahamkan bahawa usaha pengumpulan bahan tanaman ini masih diteruskan pada tahun 2026 selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan khazanah biodiversiti Sabah terus dipelihara," tambahnya.
Beliau berharap program tersebut akan terus diperluaskan setiap tahun dengan penglibatan lebih ramai komuniti, institusi pendidikan, penyelidik dan generasi muda agar kesedaran terhadap kepentingan biodiversiti dapat diperkukuhkan.
Hadir sama, wakil Timbalan Presiden KDCA I, Datuk Suman Yasambun, Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Maria David Edick dan wakil Pengarah Pertanian Sabah, Jackson R. Jaimi./Penerangan-



Comments