top of page

Gangguan Emosi: Lelaki Naik Menara Telekom, Bomba Berjaya Pujuk Turun

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • May 21
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


KOTA BELUD, 21 Mei 2026 – Seorang lelaki yang dipercayai mengalami gangguan emosi dan kurang siuman berjaya diselamatkan selepas naik ke tingkat dua sebuah menara telekomunikasi di Taman Nikmat, Kota Belud, pagi tadi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Kanan Penguasa Bomba Elge Bakuk memaklumkan bahawa mangsa berjaya dipujuk dan dibawa turun dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.37 pagi. Sepasukan 12 anggota bersama jentera segera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai, dan tiba pada jam 9.43 pagi.


Operasi menyelamat dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memujuk mangsa agar bertenang. Sebagai langkah keselamatan, bomba turut memasang jaring keselamatan di kawasan bawah menara bagi menghadapi sebarang kemungkinan tindakan luar jangka daripada mangsa.


Seramai 12 anggota BBP Kota Belud terlibat dalam operasi ini, dibantu 17 anggota PDRM dan tiga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.50 tengah hari selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Comments


bottom of page