Dua Inisiatif Baharu Diluluskan Tangani Kesesakan di Pelabuhan Sepanggar – Ewon
- Daily Insight
- May 15
- 2 min read

KOTA KINABALU, 15 Mei 2026 – Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh usaha menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) menerusi pelaksanaan lapan pelan tindakan sementara (interim) serta dua inisiatif baharu yang diluluskan oleh Jemaah Menteri Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya sentiasa komited memastikan operasi pelabuhan berjalan lebih cekap demi kelancaran rantaian logistik dan perdagangan negeri.
Beliau berkata, antara pelan tindakan interim yang sedang dilaksanakan ialah penyediaan kawasan tambahan seluas 14 ekar bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan kontena dan mengurangkan kesesakan di kawasan pelabuhan.
“Pelaksanaan kadar tarif baharu serta pengurangan tempoh simpanan percuma kontena semasa musim puncak daripada lima hari kepada tiga hari juga menunjukkan impak positif dalam mengurangkan kesesakan di kawasan simpanan kontena.
“Pelaksanaan ini akan dinilai semula selepas tempoh tiga bulan bagi memastikan keberkesanannya kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia turut menyelaras prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelupusan dan pelelongan kontena lebih tempoh, khususnya kontena yang berada di pelabuhan melebihi 21 hari serta barangan mudah rosak melebihi 24 jam.
Katanya, langkah itu telah menunjukkan pengurangan jumlah kontena lebih tempoh selepas pelaksanaan tindakan berkenaan.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi, semua agensi kerajaan berkaitan juga bersetuju menyokong pelaksanaan operasi 24 jam termasuk pada cuti am, tertakluk kepada pemakluman awal dan permohonan mengikut tatacara Pekeliling Pelabuhan LPPS Bilangan 02/2026 bertarikh 28 April 2026.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, LPPS turut mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia supaya pemeriksaan dan pelepasan kargo dilaksanakan sepenuhnya secara 24 jam setiap hari di SBCP,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan Vehicle Booking System (VBS) yang diwajibkan kepada semua pengendali lori bermula 1 April lalu turut membantu mengawal kemasukan lori secara berjadual sekali gus mengurangkan kesesakan di pintu masuk pelabuhan.
Katanya, sistem tersebut dilaksanakan tanpa caj dan dijangka memberi impak signifikan apabila digunakan sepenuhnya oleh semua pengendali lori.
Dalam masa sama, operator pelabuhan DPW Sabah turut mengambil langkah proaktif menaik taraf peralatan pengendalian kontena melalui penyewaan dua Reach Stackers yang kini beroperasi, selain tambahan Internal Transfer Vehicles (ITVs) dan Rubber Tyred Gantry Crane (RTG) secara berperingkat sehingga 2027.
Selain itu, pihak KKIP sedang menyiapkan tapak parkir trailer bagi membantu melancarkan pergerakan trailer dan kontena terutama pada waktu luar puncak.
Mengulas lanjut, Ewon berkata Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 13 Mei lalu turut meluluskan dua inisiatif baharu iaitu pemindahan sementara operasi RORO dari SBCP ke Pelabuhan Kota Kinabalu berkuat kuasa hari ini serta pelaksanaan Berthing Window Programme bermula 22 Mei ini.
Menurut beliau, pemindahan operasi RORO itu dijangka meningkatkan kapasiti pemunggahan kontena di dermaga sebanyak 20 peratus.
“Pelaksanaan Berthing Window Programme oleh DPW Sabah pula merupakan kaedah penjadualan kapal berdasarkan slot masa yang ditetapkan lebih awal dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan kapal di perairan,” katanya.
Beliau berkata, sebuah Task Force turut ditubuhkan dan dipengerusikan sendiri olehnya bagi memastikan pelaksanaan semua pelan tindakan dan inisiatif berkenaan dipantau secara menyeluruh dan berkesan.
“Pelaksanaan lapan pelan tindakan sementara serta dua inisiatif baharu ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar,” katanya.



Comments