top of page

Donald cadang penubuhan Akademi Maritim Sabah lahirkan tenaga profesional bertaraf antarabangsa

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Jul 22
  • 3 min read

22 Julai 2026


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin mencadangkan penubuhan Akademi Maritim Sabah (Sabah Maritime Academy - SMA) sebagai langkah strategik untuk melahirkan tenaga profesional maritim bertaraf antarabangsa, sekali gus memperkukuh ekonomi negeri dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada anak-anak Sabah.


Beliau berkata, Sabah memiliki kelebihan sebagai sebuah negeri maritim dengan lebih 1,400 kilometer garis pantai, lapan pelabuhan utama serta industri minyak dan gas luar pesisir, perikanan, logistik dan pelancongan maritim yang semakin berkembang.


Namun, katanya, sehingga kini Sabah masih belum mempunyai sebuah institusi latihan maritim bertaraf antarabangsa yang mampu memenuhi keperluan industri.


“Kita mempunyai laut, pelabuhan dan industri, tetapi masih belum mempunyai institusi latihan yang mampu melahirkan pegawai kapal, jurutera marin dan tenaga profesional maritim dalam jumlah yang mencukupi.


“Akibatnya, ramai anak Sabah yang ingin menceburi bidang ini terpaksa melanjutkan pengajian ke Semenanjung Malaysia atau ke luar negara dengan kos yang tinggi,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang meminda Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.


Donald berkata, cadangan penubuhan akademi itu bukan sekadar membina sebuah kampus, sebaliknya merupakan pelaburan strategik untuk masa depan ekonomi Sabah.


Beliau berkata, berdasarkan Laporan Tenaga Kerja Pelaut 2026 oleh Baltic and International Maritime Council (BIMCO) dan International Chamber of Shipping (ICS), industri perkapalan dunia kini menggaji kira-kira 2.57 juta pelaut yang mengendalikan lebih 85,000 kapal dagang.


Katanya, industri itu kini berdepan kekurangan sekitar 39,100 pegawai kapal bertauliah dan dijangka memerlukan tambahan lebih 113,000 pegawai kapal menjelang tahun 2030.


“Ini membuktikan permintaan terhadap tenaga kerja maritim adalah tinggi, berterusan dan bersifat jangka panjang. Sabah tidak seharusnya melepaskan peluang ini,” katanya.


Beliau turut menjelaskan kerjaya maritim menawarkan pendapatan yang kompetitif apabila lulusan Diploma Nautika atau Diploma Kejuruteraan Marin yang diiktiraf Jabatan Laut Malaysia boleh memulakan kerjaya dengan pendapatan sekitar RM5,000 sebulan selepas memperoleh Sijil Kompetensi dan menjalani latihan sebagai Watchkeeping Officer.


Menurutnya, pendapatan itu boleh meningkat kepada puluhan ribu ringgit sebulan apabila seseorang mencapai jawatan pegawai kanan, ketua jurutera atau kapten kapal.


Donald berkata, akademi berkenaan juga akan membuka peluang kepada lepasan SPM, STPM, graduan TVET, belia luar bandar, anak nelayan dan komuniti pesisir pantai untuk membina kerjaya profesional melalui laluan kemahiran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.


Beliau mencadangkan supaya akademi itu ditubuhkan menerusi kerjasama awam-swasta (PPP), dengan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) berperanan sebagai pemudah cara melalui penyediaan tapak, membantu proses kelulusan serta menghubungkan akademi dengan industri.


Katanya, pelabur swasta pula boleh terdiri daripada syarikat perkapalan, pengendali akademi maritim, institusi kewangan serta komuniti pelaut Sabah.


Beliau berkata, program akademik yang ditawarkan perlu memenuhi piawaian Jabatan Laut Malaysia, Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Standards of Training, Certification and Watchkeeping (STCW), selain menawarkan kursus seperti Pengurusan Pelabuhan, Perkapalan dan Logistik, Operasi Luar Pesisir, Dynamic Positioning, Offshore Survival, Global Maritime Distress and Safety System (GMDSS), Radar Navigation dan kursus profesional maritim lain.


Donald turut mencadangkan supaya akademi itu dibangunkan berhampiran pelabuhan utama seperti Kota Kinabalu, Sepanggar Bay, Kimanis, Sandakan, Lahad Datu atau Tawau bagi memudahkan latihan praktikal bersama industri.


Beliau berkata, penubuhan Akademi Maritim Sabah dijangka memberi limpahan ekonomi yang besar melalui penyediaan tenaga kerja mahir tempatan, penciptaan peluang pekerjaan bergaji tinggi, tarikan pelajar dari Sarawak, Brunei, Kalimantan, Filipina Selatan serta negara-negara ASEAN, selain merangsang pertumbuhan industri sokongan termasuk latihan keselamatan, simulator maritim, penyelenggaraan kapal, teknologi maritim dan penyelidikan.


Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri memberi persetujuan dasar terhadap penubuhan Akademi Maritim Sabah, memberi mandat kepada LPPS untuk mengetuai kajian kebolehlaksanaan bersama rakan pelabur swasta, menubuhkan Jawatankuasa Pemandu di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, membawa hasil kajian ke Jemaah Menteri Negeri untuk kelulusan rasmi serta memohon sokongan Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pembangunan modal insan dan kemudahan latihan berteknologi tinggi.

Comments


bottom of page