top of page

80 peratus tenaga kerja tempatan bagi pelaburan baharu mesti orang Sabah

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • Jul 23
  • 1 min read

23 Julai 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menetapkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada tenaga kerja tempatan yang diambil oleh syarikat pelaburan baharu di Sabah mestilah rakyat Sabah bagi memastikan anak negeri mendapat manfaat langsung daripada kemasukan pelaburan.


Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Jonnybone J. Kurum berkata, ketetapan itu dibuat susulan syarat kelulusan Lesen Pengilang atau Federal Manufacturing License (FML) oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), yang menetapkan sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja syarikat semasa fasa operasi terdiri daripada rakyat Malaysia.


“Kerajaan Negeri telah menetapkan bahawa sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah minimum tenaga kerja tempatan tersebut hendaklah terdiri daripada rakyat Sabah.


“Ketetapan ini selaras dengan aspirasi Sabah First serta komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan anak tempatan diberi keutamaan dan peluang yang lebih luas dalam sektor perindustrian,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.


Menurut Jonnybone, pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh akses pekerjaan kepada rakyat Sabah, malah menyumbang kepada pembangunan modal insan, peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan serta limpahan sosioekonomi yang lebih inklusif kepada komuniti setempat.


Beliau berkata, kementerian turut bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah dan para pelabur bagi melaksanakan inisiatif padanan pekerjaan berdasarkan data pencari kerja yang tersedia di agensi itu.


Katanya, kerjasama tersebut turut merangkumi pelaksanaan program peningkatan kemahiran, latihan semula dan pensijilan bagi memenuhi keperluan bidang pekerjaan yang ditawarkan oleh pelabur.


“Pada masa sama, kementerian akan terus meneliti inisiatif local content yang bersesuaian bagi memastikan manfaat kemasukan pelaburan ke Sabah dapat dinikmati secara langsung dan berterusan oleh rakyat negeri ini,” katanya.

Comments


bottom of page