5,000 Hadir Meriahkan Istiadat Perbarisan Sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT Sabah
- Daily Insight
- Mar 30
- 2 min read

KOTA KINABALU (30 Mac 2026): Kira-kira 5,000 orang menghadiri Istiadat Perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Padang Merdeka, pada Isnin.
Acara bermula seawal jam 6.30 pagi dengan perarakan masuk kontinjen perbarisan, didahului kategori sekolah rendah, diikuti sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan etnik Sabah, agensi swasta dan badan berkanun, jabatan kerajaan tanpa pakaian seragam rasmi serta jabatan kerajaan berpakaian seragam rasmi.
Ketibaan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin pada jam 8 pagi disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag.
Sejurus lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dimainkan, istiadat diteruskan dengan 17 das tembakan meriam sebelum Tun Musa memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Kapten Hadi Harris Adnan Izan, melibatkan tiga pegawai dan 103 anggota.
Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Shamshor Jaafar kemudian mengiringi Tun Musa menaiki kenderaan istiadat bagi memeriksa 61 kontinjen perbarisan.
Majlis turut diserikan dengan acara memotong pulut kuning serta alunan muzik gabungan pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah dan Tentera Laut Diraja Malaysia, diketuai Pengarah Pancaragam PDRM, Inspektor Willbonoh Zain, dibantu Lt Dya Ahmad Firdaus Sallehuddin dan Hemilton Anchai.
Turut memeriahkan acara ialah persembahan koir Dewan Bandaraya Kota Kinabalu menerusi lagu ‘Dirgahayu Tuan Yang Terutama’ serta persembahan khas Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang bertemakan kesyukuran dan kesetiaan rakyat terhadap kepimpinan negeri.
Antara yang hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya; Timbalan-timbalan Ketua Menteri; menteri-menteri Kabinet; pembantu menteri; serta Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, bersama ketua jabatan negeri dan Persekutuan./Penerangan-



Comments