3,000 pengusaha kebun dapur dalam tempoh enam bulan: Jamawi
- Daily Insight
- Jul 23
- 2 min read

23 Julai 2026
KOTA KINABALU : Kira-kira 3,000 pengusaha telah mengusahakan kebun dapur di sekitar kediaman masing-masing dalam tempoh enam bulan sejak ia dilaksanakan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu mensasarkan sebanyak 5,000 pengusaha dalam tempoh lima tahun pelaksanaannya.
"Kita mensasarkan seramai 5,000 pengusaha ataupun penggiat dalam tempoh lima tahun, tetapi daripada kaji selidik yang kita buat, sudah lebih kurang 3,000 pengusaha mengusahakan kebun dapur dalam tempoh kira-kira enam bulan pelaksanaannya.
"Sempena Hari Peladang pada tahun ini, kita akan usahakan agar satu skim ataupun satu insentif diwujudkan kepada pengusaha-pengusaha yang berjaya mengusahakan kebun dapur masing-masing sebagai satu bentuk penghargaan kepada mereka agar lebih bersemangat.
"Di samping itu, kita juga mengadakan perbincangan dengan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan dan juga Majlis Perbandaran Tawau untuk mencari pocket land di kawasan bandar bagi membolehkan penduduk yang tinggal di flat atau kondominium untuk terlibat dalam inisiatif kebun dapur ini," katanya kepada media pada hari keempat Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ketujuh belas di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, program itu turut diperluaskan ke institusi pendidikan bermula tahun hadapan dengan sokongan kementerian dan agensi berkaitan bagi memupuk kesedaran keselamatan makanan dalam kalangan generasi muda.
Dalam pada itu, Jamawi menyarankan semua wakil rakyat, ketua jabatan serta pentadbir Kerajaan Negeri mengutamakan buah-buahan tempatan sebagai cenderahati bagi menyokong petani dan industri pertanian Sabah.
"Amalan menggunakan buah-buahan import seperti epal dan anggur sebagai hadiah atau buah tangan wajar dikurangkan dan digantikan dengan hasil tempatan yang mampu memberi manfaat terus kepada pengusaha pertanian negeri.
"Kita mengharapkan semua wakil rakyat dan ketua jabatan menjadi peneraju dalam memajukan serta membantu mempromosikan buah-buahan tempatan," tambahnya.
Jamawi berkata, cara itu dapat menyokong industri buah-buahan tempatan supaya para petani dapat memasarkan hasil mereka dengan lebih baik./Penerangan-



Comments