130 PATI Ditahan Dalam Serbuan Imigresen Di Lima Daerah Sabah
- Daily Insight
- Jul 23
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA KINABALU, 23 Julai – Seramai 130 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam satu siri operasi penguatkuasaan bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah yang dijalankan serentak di lima daerah iaitu Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan, Lahad Datu dan Semporna baru-baru ini.
Kesemua tahanan yang terdiri daripada warganegara Filipina, Indonesia, Pakistan, India dan China itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta melanggar syarat-syarat pas yang dikeluarkan.
Di Kota Kinabalu, serbuan melalui Ops Kutip, Selera, Sapu dan Gegar menyaksikan seramai 272 individu diperiksa dan 32 warga asing ditahan, kebanyakannya rakyat Filipina terdiri daripada enam lelaki dan 17 perempuan dewasa, selain seorang lelaki India, empat lelaki dan dua perempuan Indonesia, seorang kanak-kanak perempuan Indonesia serta seorang lelaki Pakistan.

Manakala di Keningau, Ops Sapu membawa kepada penahanan 26 PATI selepas 44 individu diperiksa, dengan tahanan terdiri daripada enam lelaki dan lapan perempuan dewasa serta empat kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan dari Filipina, di samping dua lelaki dewasa Indonesia.
Di Sandakan, Ops Mahir yang memeriksa 84 individu berjaya menahan 24 warga asing membabitkan sembilan lelaki dan sembilan perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan dari Filipina, manakala dari Indonesia dua lelaki dan seorang perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan turut ditahan.
Sementara itu, Lahad Datu mencatatkan tahanan tertinggi iaitu 33 PATI hasil pemeriksaan ke atas 114 individu melalui Ops Selera, Jaja, Sapu dan Kutip, membabitkan 10 lelaki dan 15 perempuan dewasa serta dua kanak-kanak perempuan dari Filipina, di samping empat lelaki Indonesia dan dua lelaki Pakistan.
Di Semporna pula, seramai 15 warga asing ditahan dalam Ops Sapu dan Kutip selepas 27 individu diperiksa, kesemuanya terdiri daripada 12 lelaki dewasa dari China dan tiga lelaki dewasa dari Pakistan.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah memberi jaminan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berkala bagi membendung kemasukan PATI serta memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi pada setiap masa.



Comments