top of page

Atlet Pemenang Pingat Sukan SEA Ke-33, Para ASEAN Ke-13 Terima Insentif Kemenangan

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • May 19
  • 2 min read

KOTA KINABALU : Atlet Sabah yang memenangi pingat pada Temasya Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 di Thailand menerima insentif kemenangan. 


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, insentif itu diharap menjadi pembakar semangat kepada atlet untuk terus melakar kejayaan lebih cemerlang di peringkat lebih tinggi selain menghargai pengorbanan atlet, jurulatih dan keluarga.


"Jangan jadikan kejayaan hari ini sebagai noktah, sebaliknya jadikan ia titik tolak untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.


"Kepada jurulatih dan keluarga, sokongan daripada anda adalah tunjang kepada kejayaan ini," katanya pada Majlis Meraikan Pencapaian Atlet Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, pada Selasa.


Seramai 91 atlet Sabah mewakili negara pada Sukan SEA 2025 dan membantu kontinjen Malaysia meraih lima pingat emas, 14 perak serta 11 gangsa.


Bagi Temasya Para ASEAN pula, seramai 22 atlet Sabah berjaya membawa pulang 14 pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa.


Daripada insentif berjumlah RM 383,116 itu, sebanyak RM146,500 disalurkan kepada pemenang pingat Sukan SEA Ke-33 manakala RM236,616 kepada atlet Para ASEAN.


Hajiji berkata, kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian atlet Sabah yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.


Sementara itu, Hajiji memaklumkan kerajaan negeri akan terus memberi peruntukan bagi pembangunan sukan termasuk penyediaan prasarana moden untuk memastikan atlet dapat berlatih dengan lebih efisien dan selamat.


"Usaha itu selaras dengan Dasar Sukan negeri yang memberi penekanan terhadap pembudayaan sukan dan peningkatan tahap kesihatan rakyat secara menyeluruh. 


"Menerusi Dasar Sukan yang kita rancang, Kerajaan berusaha ke arah pembentukan budaya suka dan peningkatan terhadap kesihatan rakyat negeri dengan memberikan peluang sama rata kepada semua lapisan.


"Saya percaya, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah di bawah pimpinan Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan dan Dato' Sri Dr. Anil Sandhu yang sentiasa berjiwa muda, akan terus berusaha merancang pembangunan yang lebih komprehensif dan jitu untuk Sabah mencapai tahap kemajuan yang lebih membanggakan lagi," tambahnya lagi. 


Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Syed Ahmad Syed Abas; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Mansur Asun dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor./Penerangan- 

Comments


bottom of page