114 Pelajar DPLI UMS Sertai Perkhemahan di Kadamaian, Perkasa Jati Diri Bakal Guru
- Daily Insight
- May 14
- 1 min read

Oleh Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 14 Mei – Seramai 114 pelajar Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai program perkhemahan selama tiga hari dua malam pada 8 hingga 10 Mei lepas di Eco Camp Bayayat, Kadamaian, bagi memperkasa ketahanan mental, fizikal, kepimpinan, dan disiplin sebagai persediaan menjadi pendidik.
Program anjuran Fakulti Pendidikan Dan Pengajian Sains Sukan (FPPS) UMS itu turut menjadi platform pendedahan awal kepada bakal guru dalam pengurusan kokurikulum sekolah, khususnya aktiviti perkhemahan melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, dan penilaian program.
Pelbagai aktiviti mencabar dijalankan sepanjang perkhemahan, termasuk memanah, mendaki bukit, kemahiran survival, pemasangan khemah, serta malam kebudayaan yang mengasah kreativiti dan keyakinan diri peserta.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPPS UMS, Mohd Rozilee Wazir Norjali berkata, program seumpama ini penting untuk membentuk bakal guru yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki kemahiran insaniah serta kebolehan menyelesaikan masalah secara kreatif di luar bilik darjah.
"Guru masa kini perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran. Program ini menjadi platform terbaik untuk memupuk daya tahan, kepimpinan, dan semangat kebersamaan," katanya.
Tambah beliau, perkhemahan tersebut turut mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat saling membantu, nilai yang bakal diterapkan peserta dalam dunia pendidikan kelak.



Comments