UPKO Wajar Guna Logo Sendiri Untuk PRN17
- Daily Insight
- Aug 27
- 1 min read

TENOM: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tenom, mencadangkan agar parti menggunakan lambangnya sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Ketua Penerangan UPKO Tenom, Judis Nasir berkata, penggunaan logo sendiri akan memberi mesej jelas keyakinan parti dengan kekuatan dan keupayaannya sendiri serta menonjolkan imej matang, berdikari dan tidak bergantung semata-mata kepada payung politik lain.
Katanya, UPKO bukan lagi parti yang berasaskan kaum selepas proses penjenamaan semula pada 2019 di mana ia kini lebih inklusif dan progresif.
“Dalam landskap politik Sabah, UPKO memiliki identiti tersendiri lebih dihormati dalam gabungan kerana ia membawa kekuatan unik ke meja rundingan.
“Ia juga memberi isyarat UPKO bukan sekadar “pengikut”, tetapi rakan gabungan yang mempunyai asas dan sokongan akar umbi yang jelas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, UPKO mampu bekerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat negeri dan persekutuan.
“Hubungan ini penting untuk memastikan suara Sabah didengari dan kepentingan negeri diberi keutamaan dalam dasar nasional,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan semasa menjelang PRN17, Judis berkata, dalam PRN kali ini, perebutan kawasan bertanding dalam kalangan parti-parti politik tidak dapat dielakkan termasuklah dengan rakan-rakan komponen sendiri.
“Setiap parti berpandangan bahawa mereka mempunyai calon yang terbaik untuk memenangi kawasan berkenaan.
“Apa yang lebih utama ialah memastikan semangat setiakawan dalam gabungan terus terpelihara serta menghormati UPKO dan Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah,” tegasnya
Judis berkata, kemenangan sebenar adalah sejauh mana parti gabungan mampu mengekalkan kerjasama erat demi memastikan mandat rakyat dapat dipertahankan.
Comments