UPKO Lebih Kukuh Jika Guna Logo Sendiri
- Daily Insight
- Aug 28
- 1 min read

KOTA KINABALU (28 Ogos): Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) diyakini mampu memperkukuh kedudukan politiknya sekiranya memilih untuk menggunakan logo sendiri pada pilihan raya akan datang.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Cyril Supain berkata, langkah itu mempunyai nilai strategik tersendiri dalam konteks pemasaran politik dan mampu memberi kesan positif terhadap pengukuhan jenama parti dalam jangka panjang.
Katanya, penggunaan logo sendiri memberi fleksibiliti politik kerana parti tidak terikat dengan isu semasa gabungan lain, selain menjamin autonomi politik untuk menentukan arah serta strategi sendiri.
“Logo asal parti turut memberikan identiti yang lebih jelas kepada pengundi, khususnya di kawasan luar bandar yang lebih mudah mengenali simbol tradisi.
“Dalam masa sama, ia berpotensi meningkatkan penerimaan kerana faktor sentimen lokal yang sering menjadi pengaruh penting dalam pilihan raya,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Cyril berkata, langkah itu juga dapat membantu UPKO menguji kekuatan sebenar sokongan akar umbi tanpa bergantung kepada parti komponen lain, sekali gus menjadi kayu ukur kepada tahap penerimaan rakyat terhadap perjuangan parti berkenaan.
“Dalam jangka panjang, penggunaan logo sendiri akan mengukuhkan jenama UPKO sebagai sebuah entiti politik yang berdikari dan bebas daripada pengaruh luar,” tegasnya.
Isu penggunaan logo parti politik kembali menjadi perbincangan menjelang persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Comments