top of page

Ocean Celebration 2026 Tingkat Kesedaran Pemuliharaan Marin, Lindungi Khazanah Laut

  • Writer: Daily Insight
    Daily Insight
  • 14 hours ago
  • 2 min read

20 Jun 2026


KOTA KINABALU: Inisiatif Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menganjurkan program Ocean Celebration 2026 mampu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap pemuliharaan marin, di samping memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam melindungi ekosistem lautan untuk generasi akan datang.


Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Nor Yahati Awang berkata, lautan yang meliputi lebih 70 peratus permukaan bumi merupakan aset penting yang menyokong sumber makanan, mata pencarian, penstabilan iklim, pengangkutan serta pelbagai sokongan ekosistem yang menyumbang kepada kesejahteraan manusia.


Katanya, bagi Malaysia khususnya di Sabah, lautan memainkan peranan penting dalam menyokong sektor perikanan, pelancongan, industri maritim, penyelidikan saintifik dan kehidupan komuniti pesisir pantai.


"Ekosistem marin negara yang merangkumi terumbu karang, hutan bakau, rumpai laut dan kawasan perlindungan marin adalah antara yang terkaya serta paling pelbagai di dunia.



"Namun, ekosistem berharga ini semakin terancam akibat perubahan iklim, pencemaran laut, kemerosotan habitat, eksploitasi sumber secara berlebihan serta kehilangan biodiversiti," katanya.


Nor Yahati berkata demikian ketika merasmikan Ocean Celebration 2026 anjuran Institut Marin Borneo (IMB), UMS di Pantai Kemudi Ilmu, UMS.


Justeru itu, katanya usaha melindungi lautan tidak boleh dipikul oleh pihak kerajaan dan golongan saintis semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif semua pihak termasuk pendidik, pelajar, komuniti setempat, industri dan organisasi masyarakat sivil.


Beliau turut menghargai sumbangan berterusan IMB dalam bidang sains marin, penyelidikan pesisir pantai, pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan mampan yang telah memperkukuh pemahaman saintifik serta menyokong pengurusan dan penggubalan dasar berasaskan bukti.


Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk. Dr. Kasim Hj. Mansor dalam ucapannya memaklumkan, IMB telah menganjurkan pelbagai program sepanjang bulan Jun melibatkan pelajar sekolah, mahasiswa, penyelidik, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil industri serta orang awam.


Program yang dilaksanakan katanya dirangka untuk meningkatkan literasi berkaitan lautan, memupuk semangat tanggungjawab terhadap alam sekitar, serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam usaha pemuliharaan marin.


Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Datuk Dr. Rossita Shapawi; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin; Penasihat Undang-Undang UMS, Awang Suhaizam Bungso; dan Dekan IMB UMS, Profesor Madya Dr. Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah.


Comments


bottom of page